Khamis, 29 Disember 2011


Diwaktu pagi yang hening berteman hujan yang renyai-renyai lahirlah seorang bayi ke dunia fana ini di sebuah rumah kecil tanpa ada ayahnya tika itu. Lahirnya dia bertemankan nenek saudara dan seorang bidan kampung serta bapa saudara dan bapa sepupu. Kelahirannya tidak seperti insan lain, dia cacat anggota.

Kelahiran si bayi penuh syahdu bersama titisan air mata si ibu. Hanya bapa saudara yang mengazankan dan mengiqamahkan anak itu. Tangisan si bayi merentap hati ibunya melihat anaknya tidak seperti anak-anak yang lain.

Ketabahan hati ibu untuk membesarnya penuh dengan sengsara. Ramai sanak saudara dan familinya tidak boleh menerima kehadiran anak yang cacat itu. Dan seolah-olah anak itu akan membawa sialnya nanti.

Namun si ibu itu redha menerima ketentuan Tuhan dan mengucap syukur di atas anugerah Tuhan itu. Dari hari pertama, ibu itu sanggup berdepan dengan karenah keluarganya. Kata-kata familinya dijadikan azimat untuk membesarkan si bayi itu.

Setiap hari hanya nenek saudara,  bapa saudara  dan bapa sepupu yang sanggup bersusah payah mencari rezeki untuk membesar bayi itu. Sehingga bapa sepupu si bayi itu sanggup menikah dengan ibu itu kerana dia tidak sanggup melihat penghinaan famili ibu dan pengasingan bayi itu.

Subhanallah…sesungguhnya penderitaan ibu itu tidak berpanjangan. Setelah ibu berkahwin dengan sepupunya, barulah famili celik mata kerana ada yang sanggup membesarkan anak yang cacat itu.

Setiap hari anak kecil itu akan ditemani dengan ayat-ayat Allah oleh ibunya atau dari pita rakaman sehingga lena. Anak itu tidak banyak kerenah. Apa yang disuap oleh ibunya, dia makan aje.

Seusia  setahun bulan, bayi itu ditinggalkan bersama jiran tetangga kerana ibunya menyertai emak saudara sepagi atau sepetang bekerja di tempat pemprosesan ikan kering bagi membantu meringankan bebanan suaminya itu. Suaminya dan abang hanyalah nelayan sebagai ‘awak’ dan kekadang pulang membawa hasil dan kekadang tidak. Hidup mereka umpama "Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang".

Hari ke hari dia membesar di depan mata ibu, ayah tiri dan nenek saudara dan bapa saudara. Setelah usia 3 tahun barulah si bayi mengenali ayah kandungnya setelah diperkenalkan oleh ibunya. Namun perkenalan yang singkat itu tidak membekaskan rasa kasih sayang si bayi itu pada ayah kandungnya. Kerana setiap pagi pabila dia celik mata, dia akan melihat ayah tiri dan bapa saudaranya dan menganggapnya mereka berdua itu ayahnya. 

Tika usia 4 tahun, ku terpaksa mengikut familiku berpindah ke rumah lain pula kerana rumah yang kududuki bersama ibu dan mereka bertiga tika itu telah akan dirombak untuk dibina di tanah datukku.. Aku kesayuan untuk meninggalkan tanah tumpah darahku dan juga jiran-jiranku yang banyak  masa mereka diluangkan untuk menjagaku sepeninggalan ibu dan nenek bekerja.

Di usia empat tahun ini, ayah tiriku tidak lagi menjadi nelayan dan terpaksa kembara mencari sesuap nasi utk isterinya, aku dan adikku yang tidak nasibnya sama sepertiku; cacat mental gara-gara demam panas yang menyerangnya tika usia dua tahun. Di usia mentah ini, aku telah diasuh untuk menjaga adikku tika ibu keluar mencari makanan dan juga kerja.

Dalam usia yang masih tidak mengerti keperihan hidup, aku hanya tahu menangis dan merenget pada ibuku pabila aku kelaparan dan kehausan. Ibu akan berusaha untuk menyediakan sesuatu untuk mengisi perut anaknya walaupun ibu terpaksa mengikat perutnya.

Seingatanku pada suatu hari tika dalam usiaku 5 tahun, ibuku tidak memasak nasi seharian. Aku disuruh makan ubi kayu rebus. Apa yang disuruh oleh ibuku, kupatuhi aje tanpa kutanya itu dan ini, kerna yang kutahu ubi kayu juga bisa mengenyangkan perutku.

Tika usia pertengahan 5 tahun, aku diperkenalkan dengan huruf-huruf hijaiyah dalam muqaddam oleh ibuku. Setiap malam ibuku mengajar aku mengeja dan membaca tanpa penat dan jemu. Waktu untuk kubelajar muqaddam itu sesudah solat maghrib hingga waktu isyak. Kerna lepas isyak, kami akan tidur selepas makan malam. Tempohku belajar mengeja dan kenali huruf-huruf hijaiyah memakan masa hampir setahun.

Seusia pertengahan 6 tahun, kutelah mula diajar untuk belajar solat dengan mengikuti ibuku solat.
Seusia ini apa yang kutahu hanya aku ikuti sahaja gerak geri ibu solat. Aku tidak mengerti tujuan apa ibu suruh aku solat. Kekadang aku dimarahi ibu kerana tidak mau solat bersama ibu. Maklumlah aku masih hingusan tika itu.

Semenjak usia 6 tahun lagi aku di suruh ibu ke dapur sendiri untuk makan dan minum. Makan apa yang telah sediakan walaupun ibu tanpa sedikit rasa keluhan atau bantahan. Tika ini, ibu banyak memberi masa untuk adik perempuanku dan adik aku yang cacat itu. Kekadang aku hanya merenget pada nenek saudaraku saja. Neneklah yang banyak meluangkan masa untukku walaupun nenek kepenatan.



Selasa, 20 Disember 2011

KISAH KEHIDUPANKU.....

Kehidupan ini banyak mengajar aku erti kehidupan yang penuh dengan dugaan dan liku-liku hidup dalam langkaran perjalananku...Di sinilah kisah hidupku bermula di muka bumi ALLAH...